Monday, October 15, 2012

WRECKÄR “DAYS OF REBEL”

HEADBANG SAMPAI BERDARAH 
Stopzone, Johor Bahru 13hb Oktober 2012

LARKIN TERROR FEST 

The Wall, Batu Pahat 14hb Oktober 2012


Bila Eddie daripada The Four Horsemen, sebuah booking agensi yang menguruskan tour kumpulan-kumpulan muzik ektrim tempatan dan luar negara menghubungi aku bertanyakan adakah Wreckär sedia untuk bermain gig? Kami semua teruja. Bukan kerana kami kemaruk sangat untuk bermain gig, tetapi kami teruja sebab Wreckär adalah sebuah band yang pelik, untuk berlatih ditempat sendiri pun kami memerlukan ketelitian untuk mendapatkan tetapan bunyi, inikan pula untuk bermain bagi menghiburkan sejumlah makhluk , di tempat yang asing dan peralatan yang mungkin bakal menimbulkan masalah kepada kami. Tetapi kami sukakan cabaran itu! Jika kumpulan-kumpulan lain selesa dengan muzik ektrim yang stereotype, bingit dengan kuasa gitar, meletup dengan blast-beat. Kami hanya menjahamkan pendengaran anda mengunakan paduan 2 bass dan D-beat.

Bila berbincang dengan Eddie, kami sangat gembira dengan mutual understanding yang terbina. Ternyata beliau sangat menghargai kumpulan-kumpulan unik seperti Wreckär dan sanggup untuk membiayai pengangkutan dan penginapan yang pada kami sudah cukup bagus.

Recordstore paling cult di Kangar!
Wreckär bukanlah pemuzik professional, kami sebuah kumpulan underground dan kami berkerja untuk menyara hidup. Kami mengeluarkan material sendiri, berjuang dengan cara sendiri. Jadi, jika anda ingin berkerjasama dengan kami. Hormati kami. Kami tidak akan sesekali bermain secara percuma. Berlari kesana kemari melacur muzik kami dengan percuma atas nama ‘underground’. Kami mengunakan wang untuk jamming, makan, hidup dan merekodkan produk yang anda dengar itu. Jadi jika benar sama-sama ingin menaikkan scene underground, lakukan seperti The Four Horsemen. Band dan organizer sama-sama memainkan peranan dan menyumbang dalam perjalanan seni kumpulan bawah tanah.

Aku bercakap untuk band yang tengah struggle dalam underground, bagi band yang telah terkenal walaupun di dalam dunia muzik berat. Mungkin lain pula hal nya?!

Bermain di Johor sesuatu yang unik. Antara tempat pilihan kami selain Kelantan, dan kepulauan Borneo.


Jadi kami pun tingkatkan latihan dari seminggu sekali kepada seminggu 2 kali, kemudian setiap hari pada minggu terakhir sebelum ke Johor. Itu pun berdua sahaja memandangkan Haidir atau nama samaran untuk Wreckär adalah Melayu tinggal di Teluk Intan. Melayu datang awal sehari, jadi sempatlah kami berlatih sejam bersama di D’Muzika Studio. Ia adalah kali pertama kami ke studio berkenaan yang mana sebelumnya kami hanya berlatih di studio sendiri. Penting juga mencuba studio dan peralatan lain agar dapat sesuaikan diri dalam keadaan yang tidak dijangka nanti.

Brown 
12hb malam kami bertolak ke Johor dari Kangar dan sampai 13 jam berikutnya. Kesian pada Eddie yang bertugas separuh hari, lalu kami minta Man (orang kampung) untuk jemput kami, rehat di rumah beliau sebentar boleh juga mandi dan solat dan makan nasi lemak. Hehe. Sebelum itu, Man bawa kami melawat Legoland, taman tema itu nampaknya dimonopoli warga Singapura untuk riadah sempena hari minggu.





Bertindak melalui sms Eddie, kami tiba di Stopzone pada jam 3.00 petang. Selepas tibai burger dan cendol serta sesi suaikenal bersama Abi, HIDING FEAR. Kami soundcheck. Stopzone menyediakan equipment yang terbaik sesuai keluasan studio berkenaan. Amp stack, drum miking, air cond, ruang label-label menjual merchandises, ruang moshing, manakala di tingkat bawah terdapat 2 buah lagi studio yang dijadikan khas sebagai ruang untuk berehat dan solat sempena gig ini. Kapasiti tempat ini adalah 150 orang bagi sesebuah acara.

Soundcheck berjalan dengan lancar. Jika kami dapat tetapan bunyi sedemikian sudah pasti kami boleh berikan yang terbaik. Kami dijadualkan bermain pada 9.00 malam dan yang ke-8 sebelum TORCH. Menjadikan kami kumpulan ke-3 terakhir membuat persembahan pada hari itu.

Antara individu aku rasa bertuah dapat berjumpa pada hari tersebut sementinya Prop dari Grundar Production yang setelah sekian lama putus hubungan, kali terakhir adalah 8 tahun lalu. Beliau tiba-tiba muncul dari kesuraman scene UG Johor dan terus dengan kejutan menerbitkan album sulung DAMOKIS “Grinding Mother Whore” cd. Lebih menarik, album berkenaan mendapat sambutan yang mengalakkan apabila 600 unit berjaya terjual dalam hanya tempoh 3 bulan! Bagi dunia UG, ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Menurut Prop lagi, Grundar asalnya mahu diaktifkan semula untuk menerbitkan album bagi kumpulan beliau sendiri ARGON tetapi akibat masalah ketiadaan pemain dram membantutkan aktiviti mereka sehinggalah pada masa yang sama, DAMOKIS sedang mencari label yang sesuai untuk menerbitkan album mereka. Grundar menjadi aktif, mencari bakat-bakat baru seiringan itu juga mereka berusaha keras menghidupkan semula scene muzik berat Johor yang telah mati dan kritikal. Grundar dalam perancangan menerbitkan album untuk BAHAJANG, Grindcore dari Ipoh dan SICKNESS, Goregrindcore dari Johor.

Prop tengah sibuk jual stuffs dari Grundar

Kata Prop memang ada benarnya, scene Johor ditahap kritikal. Kemana hilangnya muda mudi peminat muzik berat di sini? Sambutan yang diberikan amat suram dan langsung tidak memberikan sebuah harapan. Mujurlah adanya individu seperti Prop, Eddie, Bob Agigi yang sentiasa berkerja keras menyumbangkan sesuatu sebagai pengerak scene muzik bawah tanah Johor. Mereka adalah sebenar-benar aktivis dan enabler bagi scene di sini. Kerja-kerja yang mereka lakukan berteraskan passion sepenuhnya, keuntungan dan nama itu hal kedua. Sehingga kini mereka berjaya bertahan dan tetap berdiri dalam kejayaan atau kegagalan. 

Underground ini dipenuhi dengan individu-individu yang kuat dan sentiasa berjuang. Sentiasa ada, mereka yang percaya dengan kuasa muzik bawah tanah dan revolusi yang akan bangkit oleh kuasa itu.





Headbang Sampai Berdarah dimulakan dengan amukan dari BAHAJANG, sebuah kumpulan Grindcore dari Ipoh dan artis rasmi Grundar. Muzik yang mereka bawa berat, buas dan kotor. Permulaan yang baik untuk gig ini.



Seterusnya, SINDRAZ mengambil alih persembahan. Boleh dilihat beberapa orang black metallers ke depan stage untuk menyokong mereka. Aku telah lama mendengar nama Sindraz ini tetapi masih belum sempat mendengar material mereka. Dari apa yang aku lihat mereka memainkan black metal 90-an yang banyak dipengaruhi kumpulan dari Norway dan Sweden. Mereka turut membawakan cover “Anal Madonna” sebuah lagu klasik IMPIETY, ketika itu Shyaithan masih mengunakan vokal evil Mickey Mouse. (bukan aku kata, kalau baca ulasan majalah mat salleh zaman “Asateerul…” itulah mereka kata!) Bagi aku SINDRAZ sebuah kumpulan yang gagah kudratnya, ada jatidiri yang mana kebanyakan kumpulan black metal lain seusia mereka telah mencampur aduk elemen death metal untuk menambah seri tetapi mereka kekal sedemikian. 

Akhirnya bertemu juga dengan Rhymn dari Khrabanazak/Argon, kami berutusan surat bertahun lamanya. Melepak bersama Fandi yang budiman, menceritakan tentang scene Raub, perkembangan BAZZAH dan TORCH sendiri. TORCH membuat persembahan tanpa penyanyi mereka pada malam ini tetapi nyanyian digalas oleh Fandi yang pada asalnya adalah pemain gitar dan vokal sebelum itu. 

Aku terharu bila Eddie kata, kesanggupan dia untuk jemput Wreckär dan Torch adalah semata-mata dia suka muzik dan ingin lihat kami. Jadi biar dia yang bayar untuk tengok kami walaupun dia tahu scene Johor mati dan tidak akan pulangkan hasil. Berapa ramai sangat orang boleh hargai keunikan Torch dan Wreckär kan? 

Semasa kami melepak di studio di tingkat 2 Stopzone, GRAVE OF DEMISE sedang beraksi di atas pentas. Kedengaran sangat hebat permainan dan susunan muzik kumpulan dari Singapura ini. Terhibur kami mendengarnya. Begitu juga DIEMORECRUSHT yang berjaya memberi persembahan yang bertenaga dan bersahaja. Aku tidak sempat untuk melihat TRIUMPH OF FIRE beraksi kerana perut dah berkeroncong dan memaksa kami untuk ke Restoran Osman di belakang Stopzone.





Prop mengambil alih tugas sebagai MC malam itu dengan memperkenalkan Wreckär dan segala aktiviti UG aku masa lalu termasuk alamat aku. Hahaha!

Ternyata tetapan sewaktu soundcheck tadi tidak dapat kami temui semula. Apa yang dapat aku dengar hanya humming dari bass Chainsore dan aku hanya berpandukan bunyi bass Melayu. Masalahnya sewaktu latihan aku hanya berpandukan bunyi bass Chainsore. Tetapi kami tetap teruskan persembahan sebaik mungkin. Memang ada cacat cela, mikrofon Chainsore tak berfungsi pada lagu terakhir, manakala drum seat aku loose pada lagu kedua terakhir sehingga memaksa persembahan kami dihentikan buat beberapa ketika sebelum Eddie mendapatkan seat yang lain. Kami terpaksa berpuas hati dengan persembahan sulung ini yang sepatutnya lebih hebat. Apa boleh buat, ini satu dari pelajaran dan pengajaran yang kami dapat jika ingin melakukan apa yang orang lain tidak mampu buat. Kami tetap gembira!




TORCH ambil alih pentas. Terima kasih juga kepada ahli-ahli TORCH yang menyokong kami semasa membuat persembahan. TORCH adalah antara kumpulan paling unik di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1997. Asalnya melalui biografi mereka, TORCH sebuah kumpulan Death/Grindcore yang dikenali menerusi kaset EP tersohor mereka “State of Unconsciousness” keluaran Metal Mechant Records pada tahun 1998. TORCH juga dikenali menerusi pembabitan ahli-ahlinya di dalam kumpulan black metal paling jahat dan menyendiri di Malaysia iaitu BAZZAH.

Kontranya, pemuzik BAZZAH dan TORCH sangat budiman dan sangat berhemah. TORCH menerbitkan digipak berjudul “Daroh Dagir” pada tahun ini yang dikeluarkan oleh RDL Distro dengan pengunaan bahasa loghat Raub/Kuala Lipis. Pertukaran line-up, kematangan, keras kepala dan jati diri membuatkan muzik mereka sangat unik dan sangat Melayu. Secara asasnya, mereka seperti Wreckär, buat apa aku suka, aku peduli apa, working class band, cerita pasal suka duka kehidupan, cerita pasal kehidupan sendiri, dan cara hidup kampung. Bezanya muzik TORCH kini adalah Thrash/Heavy Metal yang bermelodi dan dengan imej selamba manakala kami Thrash/Punk yang kurang melodinya berserta imej yang tegar dan terancang.

TORCH mempersembahkan lagu-lagu baru yang ternyata menghiburkan, jujur dan membuatkan kami bersiul-siul sebelum tidur malam itu di hotel. Antara lagu yang dimainkan pada malam itu adalah “Daroh Dagir”, “Kaberh De Bukik Nage”, “Kayu Api”, “Pengorbanay Ayoh” dan sebagainya. Kami hanya dapat tangkap tajuk lagi tetapi apa yang dinyanyikan langsung kami tok pahe. Namun, TORCH wajar mendapat penghormatan.

Lepas TORCH main kami bergerak ke hotel, lepas mandi dan solat. Kami cari makan, jam dah 1 pagi merata-rata tempat makan masih dipenuhi manusia. Terpaksalah kami ke restoran fast food akhirnya.

 

14hb, selepas mandi dan bersiap sedia dengan alunan mp3 VENOM “Welcome To Hell”, kami bersarapan pagi (murtabak lagi!) di Restoran Osman. Jam 1 tengahari, Eddie menjemput kami ke The Wall. Dua jam perjalanan ke Batu Pahat tidak terasa kerana rancak kami berbincang fasal punca Perlis dianggap negeri wahabi, bercerita pasal kitab kuning, sufi, raja Melayu dan keangkuhan pemerintah, cerita jatuh bangun The Four Horsemen, dan segalanya di muka bumi yang kami teringat masa itu. Segalanya kami kongsikan.

Kami sampai di The Wall hampir jam 4.00 petang. Tempat punk/crusty memang unik, penuh dengan ethic mereka. Aku sukakan lukisan dinding dan prinsip mereka. Honest and rebellious. Kami lakukan soundcheck, Uda pemilik The Wall sangat memahami kehendak kami. Kelengkapan yang disediakan sudah cukup buat kami walaupun tiada miking drum kecuali pada pedal dan hanya satu stand cymbal diberikan. Itu dah okay. Apek, penganjur dari label Larkin Terror Records juga individu yang cool dan santai.

Kherow dapat ilham di sini?

Kami difahamkan gig bermula jam 7 malam, jadi sempat kami menjamah makanan di stesen bas lama dan melepak di dataran Batu Pahat mencari ilham.


Kembali ke The Wall, BAHAJANG memulakan persembahan tanpa belas kasihan. Mereka tetap aggresif dan lasak. Mereka sebuah kumpulan yang berpotensi.

Seterusnya Wreckär mengambil tempat. Ini yang aku suka mengenai penyokong crust core, mereka mendahului idea, attitude sebelum muzik. Kepentingan idea, protes mereka disuarakan dan diambil peduli adalah lebih penting dari muzik itu sendiri. Jadi bila adanya kumpulan seperti Wreckär ditempat sebegini, mereka tahu kami kumpulan yang mengetengahkan idea dalam ciptaan muzik -sebaik melihat pengunaan 2 bass gitar. Tetapi kami juga ada mesej dan jujur dalam apa yang kami katakan. Jadi walaupun tidak ramai yang hadir, semua datang ke depan untuk melihat apa yang kami mampu berikan. Kami gembira dan membawakan yang terbaik. Harap semua enjoy dan puas hati dengan apa yang Wreckär berikan pada malam itu.



Kita tidak dapat sokongan sebegini dalam gig scene metal tegar, rata-rata datang dengan ego, hey! Aku main lagi bagus dari geng ni. Alah, aku datang nak minum-minum aja. Aku datang nak tengok satu band ini aja. Ini semua kita selalu dengar kan? Tapi itu hak mereka. Buatlah apa yang anda suka. Tetapi pergerakan UG metal dah berubah dan semakin kaku kini oleh kerana sikap sedemikian.

Tiba-tiba teringat kata-kata Craig Prestley dan Matt dari Belligerent Intent yang bercerita di Australia pun scene metal yang ektrim sangat kaku, kalau buat gig 50 orang datang tu dah kira cukup banyak. BEHEMOTH turun pun 200-300 orang sahaja yang turun. Mungkin sebab itu mereka target peminat Indonesia dan Borneo kini yang lebih meriah sambutannya? Bellegerent Intent turut bermain di Solo, Indonesia semalam dengan jumlah kehadiran 8000 orang!

 




PSYHCOTIC SUFFERANCE dari Seremban yang memainkan Grind/Noisecore mengantikan Wreckär menghuru-harakan majlis. Jika tidak silap, mereka merupakan antara old timer grinders dari era penghujung 90-an namun tetap kekal di dalam lubuk UG dengan aktif menerbitkan demo cdr dan split cdr. Mereka sebuah kumpulan yang bagus dan mempunyai siri luahan pandangan dan protes yang dirakamkan dalam berbagai rilisan underground.

Kami bertolak kembali ke JB setelah bertukar-tukar material dan sesi bergambar kenangan bersama. Anthon siap sedia menjemput kami untuk bermalam di rumahnya. Seorang sahabat lama yang tidak pernah menghukum sesiapa pun melalui penampilan dan luaran, tidak penah berkata kesat dan baik budi bicara. Eddie bergegas pulang sebelum kena belasah dengan bini. Hehehe.


Melayu pulang ke Teluk Intan esok paginya dihantar oleh Anthon ke terminal bas Larkin. Manakala aku dan Chainsore sempat riadah sekitar JB bersama Anthon dan Man yang setia melayan kami sehingga malam.

Malamnya kami tinggalkan Johor dengan seribu kenangan. Kami hanya jumpa orang yang budiman sepanjang 3 hari Wreckär mempunah-ranahkan Johor, kami sangat terhutang budi dan terdorong dengan kemuliaan; Eddie, Prop dan Anthon. Tidak lupa juga Man, Abi Suffian, Rahymn, ahli-ahli Torch, Logam, Bahajang, Psychotic Sufferance, Uda The Wall, Apek Larkin Terror, Man Rabaxx, Sultan dan mufti Johor (hahahaha!) dan semua yang kami ketemui.

MENGUKIR NADA DARI BESI

MENGUKIR NADA DARI BESI Penulis: Rammy Azmi Penerbit: Karya Raya Publishing Edaran: Faithcraft Productions Asal: Maaysia Baha...